Saturday, February 7, 2015

ADA NAMUN TIADA

7 Februari 2015 / 17 Rabiul Akhir 1436 H (Sabtu)

Satu situasi itu telah menyedarkan saya. Siapa saya di dunia, atau setidak-tidaknya di sini.
Di tempat ini, di jabatan ini. Di rumah ini.

Seorang sahabat yang bagiku amat aku sayangi bakal meninggalkan kami.  Satu jamuan dirancang untuk meraikan beliau dan aku dijemput sama....pada awalnya.   Entah kenapa, ia ditangguhkan di atas sebab-sebab tertentu.  Hari ini, aku mungkin mengerti jawapannya.  Mungkin mereka tersilap menjemput aku. Rupanya jamuan tersebut diadakan secara kecil-kecilan bersama rakan-rakan rapat beliau. Dan semua rakan-rakan tersebut aku anggap rakan-rakan rapatku juga.  Sama-sama bekerja, belajar dan berusaha memberikan yang terbaik.  Sahabat-sahabat yang kusertakan nama mereka di dalam setiap doa....

Kiranya mereka tidak mempunyai tanggapan yang sama. Aku tiada dalam senarai mereka.  Yang paling mengecewakan aku, salah seorang rakan rapat itu ialah rakan serumahku.  Orang yang kuanggap paling dipercayai dan kuterima tanpa syarat.

Insiden ini menyedarkan aku.  Penerimaan setiap orang adalah berbeza. Walau aku menerima mereka sebagai sahabat rapat, atau kawan karib, biarpun tanpa syarat, ia tidak semestinya di balas dalam bentuk yang serupa.  Ya, itulah namanya manusia.  Aku sedih, sakit hati, sedar diri.  Tapi ada bagusnya juga.  Sudah agak lama aku tidak teruji atau tersentap begini.  Setidak-tidaknya aku ada peluang untuk meleraikan segala bebanan hati dengan menangis. Terima kasih Ya Allah kerana teguran yang manja ini.

Aku faham dan pelajari sesuatu.  Perasaan sayang sesama makhluk tidak semestinya menerima balasan, tapi dengan mgasihiNya, aku yakin sekali, tiada kesalan, tiada kekecewaan. KasihNya tidak pernah meminta, kerana Dia Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.  Sayang Allah tidak pernah dibeza-beza dengan status atau rupa.  Ya Allah, janganlah Engkau lupakan aku...janganlah Ya Allah Engkau putuskan harapanku.  Aku ingin mendekatiMu, aku sedang mencuba sedaya-upayaku.  Andai kesakitan ini dan kekecewaan ini adalah harganya, aku sedia menerimanya Ya Allah. Asal sahaja Engkau terasa dekat.

Terima kasih Ya Allah kerana mewujudkan aku di sini. Segala puji bagiMu Ya Allah kerana masih bersabar dengan hambaMu yang entah apa-apa ini. Yang tiada sesuatu apapun untuk dibangga atau dihargai kewujudannya.  Ya Allah. Biar mereka mengganggap aku tidak wujud. Biar mereka tidak menyedari kehadiran ini. Tapi Ya Allah, janganlah Engkau palingkan pandanganMu daripadaku.  
Ya Allah.......
Ya Allah......
Ya Allah.....
ampunkan aku....kerana masih sedih, tidak dapat menepis rasa tersisih dan ingin menyisihkan diri sendiri dari semuanya....kecuali dari pandangan, pengetahuan dan inayahMu.

No comments:

Post a Comment