Thursday, January 15, 2015

Kembara Hati

Biarkan jasad mengikut kaki
meneroka daerah penuh misteri
di zahir mata penuh cerita
di sudut hati penuh terluka
menjelajah resah sendiri
Biarkan langkah mengubat hati

Lakarkan kisah seindah mimpi
kembara mencari sejuta destinasi
di pandang mata terukir bahagia
di lubuk hati terubat luka
musafir mencari sejuta erti
Lakarkan wajah setulus realiti

Ada hati membawa luka
ada kaki melangkah hiba
ada harap membenam kecewa
ada senyum melukis bahagia
ada wajah menyimpan rahsia
ada mehnah menyentuh jiwa

Ya Allah
jangan biarkan hamba sendiri
musafir merentas kembara usia
apa kiranya Engkau sertakan namanya
dalam limpahan rahmat dan taufiqMu
bersama luasnya maghfirah dan rezekiMu
kerana kembara hati dan kakiku ini
berjalan, berlari mencari erti
matlamat dan erti wujud diri
mengintai wazifah mahupun fungsi
membina iktikad dan kekuatan diri

Ya Allah
berilah hati dan kakiku kekuatan
untuk aku tetap di jalan kebenaran
untuk aku tempuhi sunnah Yang Menciptakan
untuk aku galas tugas Rasul Utusan
untuk aku timba khazanah pengetahuan
untuk aku sebar seluas kebaikan
untuk aku mati di medan perjuangan,

Ya Allah
andai kembara ini tidak berteman
jangan biarkan hambaMu ini sendirian
kupohon secukup kudrat dan bantuanMu
kumohon seluas rahmat dan hidayahMu
jadikan kembara ini sebuah rehlah
menuju maghfirah dan redhaMu
jadikan saat kembali itu
saat terbaik dan terindah
bagiku, pulang ke sisiMu.


Ali al-Hassani
Khamis 15/01/2015
Skyhill Park



No comments:

Post a Comment