Wednesday, November 5, 2014

ALAMAT BAHAGIA DI TAMAN JIWA

Serasa berabad menanti tiba
bahtera belayar ke pulau gembira
atau gerabak ke daerah bahagia
langkah tak ingin berhenti berlari
dari satu perhentian ke satu pelabuhan
kembara hati mencari erti bahagia

Serasa berjuta warna menyapa
menanam visi mencorak misi
alamat bahagia rupanya di sisi
jauh terbenam di sanubari
tuntas menafsir warkah Ar Rahman
kiranya mehnah itu suatu teguran
agar jiwa pulang kembali ke pangkuan

Ya Allah, ampunkanlah hati ini
dalam kabur pandangan menafsir mehnah
dalam sayup pendengaran menyahut hidayah
dalam longlai langkah menjejak maghfirah
ampunkanlah aku Ya Ghaffar
dalam galau mencari bahagia
hingga tersesat di simpang rasa

Ya Allah, biarkan diri ini hanya wujud
di dalam radar pandanganMu semata
rezekikanlah mata rabunku
agar mencintai apa Yang Engkau Cinta
dan membenci apa Yang Engkau Murka
agar tenang hayatku di kolam jiwa
kerana di daerah syukur itu
kutemukan bahagia.

Ali al-Hassani
Bukit Angkasa
Rabu
12 Muharam 1436H / 5 November 2014