Thursday, July 9, 2015

MALAM SEGALA KETENTUANMU

Ya Allah,
Ramadhan ini menyambut kami
dengan sayu hiba jejak musafir
bagaikan meniti langkah terakhir
dapatkah lagi bertemu Ramadhan 
atau usai segala sisa usia

Ya Rahman,
dalam dakapan Ramadhan ini
kerdil diri menadah harap
memohon maghfirah dan rahmah
kurniakan kami hati yang ikhlas
zahir yang sihat dan minda yang celik

Ya Rahim,
dalam baki sepuluh malam terakhir ini
hambaMu memohon
kurniakanlah dari khazanah rahmatMu
sedikit kasih sayang buat memenuhi hati kami
moga yang retak dapat tercantum
dan kukuh kembali

Ya 'Afuwwun Karim
Engkau Yang Maha Pemaaf,
Maafkan kami...
kerana jarang hadir sempurna
jasah dan roh kami
dalam beribadah kepadaMu
pun masih Engkau luaskan
limpah kurnia dan inayahMu

Ya Zal Jalaali wal Iqraam
Segala puji bagiMu atas segalanya
yang telah Engkau kurniakan
dan segala yang Engkau tahan
kerana di lubuk hati ini meyakini
sebagaimana indahnya pemberianMu
pasti lebih indah lagi apa yang ada di sisiMu



Ali al-Hassani
Rabu, 22 Ramadhan 1436H (9 Julai 2015)
Skyhill Park,
Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment