Saturday, July 11, 2015

DILEMA DOKUMENTASI : FIKSI ATAU REALITI


AMBIL GAMBAR DAH SATU HAL,
KENA GUNAKAN TENAGA DARI AWAL HINGGA TAMAT PROGRAM.
KEMUDIAN PERLU DOKUMENTASIKAN.
PROGRAM SUDAH TAMAT, PENYIKSAAN BARU BERMULA.

USAH SAMAKAN SEPERTI MENGAJAR.
PERLU FOKUS KEPADA MURID,
MENGESAN KELEBIHAN DAN KESUKARAN MEREKA
BUKAN BOLEH SAMBIL-SAMBIL
SAMBIL MENGAJAR SAMBIL MENULIS RPH
SAMBIL MENGAJAR SAMBIL BERBUAL DENGAN PENTADBIR DAN IBU BAPA DI TELEFON

SENANG CAKAP, TAK PERLU CAKAP APA-APA
MEREKA SURUH, KITA BUAT SAHAJA.
BIARPUN TIADA ALASAN MUNASABAH
ASAL SAHAJA MEREKA NAMPAK BERKUASA

BERTAMBAH DENGAN SISTEM ONLINE DAN OFFLINE TANPA NOKTAH
SEMUA GURU PERLU DOKUMENKAN TENTANG DIRI, KERJA DAN PENCAPAIAN
WOW, CIKGU MEMANG BANYAK MASA LAPANG HINGGA DIBERIKAN TUGASAN DEMIKIAN.
BIASANYA YANG FAIL CANTIK IALAH YANG
RAJIN GOYANG KAKI SEMASA PROGRAM BERJALAN.
ATAU BOLEH LEPAK DI BILIK GURU MASA GURU LAIN BERTUNGKUS LUMUS MENGENDALIKAN PROGRAM DAN MURID-MURID.
JENIS YANG LEPAS TANGAN DAN TENGKUK SENDIRI.
YANG SUKA LIHAT RAKAN LAIN DALAM KESEMPITAN DAN
MOTO MEREKA "ASALKAN KERJA AKU DAH SIAP, SUDAH"
YANG HANYA FIKIR BILA GAJI AKAN DITERIMA.
BUKAN APA YANG MEREKA BOLEH USAHAKAN UNTUK BELA NASIB ANAK BANGSA,
YANG ADA MASA UNTUK MEMBEBEL DAN MEMARAHI MURID YANG BODOH
DARIPADA MEMBIMBING MURID ITU UNTUK MAMPU MEMAHAMI SESUATU.

ANDAI SAHAJA ORANG DI ATAS MAHU MENGERTI
APA YANG DIBINA DI SINI TIDAK MAMPU DITERJEMAH DIDALAM KERTAS
TIDAK DAPAT DIUKUR DENGAN PANJANGNYA LAPORAN ATAU TEBALNYA FAIL
KERANA ITU SEMUA FIKSYEN DAN KOSMETIK BELAKA
KERANA APA YANG DIHASILKAN BUKAN DATA DAN NOTA
TETAPI MANUSIA YANG BERNYAWA DAN BERJIWA

PERLUKAN DIBEBANI PENDIDIK DENGAN LAPORAN
HINGGA JIWA YANG PERLU DIBANGUNKAN TERPAKSA DIPINGGIRKAN
GURU HADIR MESYUARAT DAN KURSUS
ANAK-MURID  JADI KORBAN PEMIMPIN-PEMIMPIN RAKUS
TERPINGA-PINGA DI SEKOLAH BERSAMA BUKU TEKS
MANA PERGINYA GURU MEREKA

ANDAI SAHAJA MEREKA TAHU
DUNIA PENDIDIKAN KINI SEMAKIN TAKSUB
DENGAN DATA FIKSI UNTUK
LARI DARI TEKANAN REALITI

AKU JUGA MAHU LARI DARI REALITI BEGINI
TUGAS INI BUKAN KERANA ARAHAN KPM ATAU MENTERI
HAKIKATNYA IA AMANAH DARI RABBUL 'IZZATI
SETIAP KALI KECEWA MELIHAT KEBOBROKAN PENGGILA KUASA
AKU ALIHKAN PANDANGAN MELIHAT ANAK-ANAK SYURGA YANG TIDAK BERDOSA
ANDAI TUGASAN DOKUMENTASI DAN RENCAM ITU RACUN BERBISA
SETIDAK-TIDAKNYA ADA ANAK-ANAK DIDIK SEBAGAI PENAWARNYA
AKU DI SINI BUKAN UNTUK MENCARI KEJAYAAN DIRI
TETAPI UNTUK MEMBUKA DAN MENCETUSKAN KEJAYAAN MEREKA
SESEKALI DIRI DITEMPIAS RASA LETIH DAN SUKAR
KUGAGAHI MENYEMAK SEMULA HATI DAN KENAPA AKU DI SINI
KERANA SEGALA AMANAH DAN REZEKINYA HARUS KULUNASKAN
SEBAGAI TANDA PENGABDIAN SEORANG INSAN KEPADA PENCIPTA
TUGAS INI ADALAH IBADAH
LADANG UNTUK KU SIAPKAN HASILNYA DI AKHIRAT.

ALI AL-HASSANI
KUALA LUMPUR.
Sabtu, 24 Ramadhan 1436H/ 11 Julai 2015


Thursday, July 9, 2015

MALAM SEGALA KETENTUANMU

Ya Allah,
Ramadhan ini menyambut kami
dengan sayu hiba jejak musafir
bagaikan meniti langkah terakhir
dapatkah lagi bertemu Ramadhan 
atau usai segala sisa usia

Ya Rahman,
dalam dakapan Ramadhan ini
kerdil diri menadah harap
memohon maghfirah dan rahmah
kurniakan kami hati yang ikhlas
zahir yang sihat dan minda yang celik

Ya Rahim,
dalam baki sepuluh malam terakhir ini
hambaMu memohon
kurniakanlah dari khazanah rahmatMu
sedikit kasih sayang buat memenuhi hati kami
moga yang retak dapat tercantum
dan kukuh kembali

Ya 'Afuwwun Karim
Engkau Yang Maha Pemaaf,
Maafkan kami...
kerana jarang hadir sempurna
jasah dan roh kami
dalam beribadah kepadaMu
pun masih Engkau luaskan
limpah kurnia dan inayahMu

Ya Zal Jalaali wal Iqraam
Segala puji bagiMu atas segalanya
yang telah Engkau kurniakan
dan segala yang Engkau tahan
kerana di lubuk hati ini meyakini
sebagaimana indahnya pemberianMu
pasti lebih indah lagi apa yang ada di sisiMu



Ali al-Hassani
Rabu, 22 Ramadhan 1436H (9 Julai 2015)
Skyhill Park,
Kuala Lumpur.

Monday, June 15, 2015

PERTEMUAN, PERPISAHAN, PENGAJARAN BUAT INSAN

Terima kasih Ya Allah,
kerana mengajar aku
untuk mengenalpasti lalu mengerti
dalam luasnya rezeki dan anugerahMu
pertemuan demi pertemuan
bersulam ilmu dan hikmah
dalam perjalanan mencari erti
dalam kebingungan mengukur
kekuatan dan kelemahan diri

Syukurku kepadaMu Ya Rahman
kerana mendidik aku
untuk sabar lalu pasrah
melalui ujian dan mehnah
perpisahan demi perpisahan
bersulam ibrah dan rahmah
dalam kembara mengenal diri
sebelum tersesat godaan duniawi
kerana sungguh Engkau Maha Mengetahui
apa yang gagal kami fahami

Biarpun pertemuan dan perpisahan
menjengah hari bersilih ganti
satu hakikat pengubat hati
Dari Engkau kami datang 
dan kepada Engkau jua 
kami pasti kembali.


Ali al-Hassani
Skyhill Park
Kuala Lumpur
Isnin,
15 Jun 2015 (28 Syaaban 1456H)

Saturday, May 30, 2015

HIKMAH KEGAGALAN

Kegagalan
adalah guru paling berkesan
mengajarkan erti usaha dan ikhtiar
menanamkan rasa hamba dan pasrah
menyemai sabar dan redha
menyubur taqwa dan tawakal
kerana berjaya di mata insan
hanya menimba kealpaan

Penolakan
adalah ujian lebih bermakna
dari penerimaan insan
ada hikmah di setiap mehnah
ada rahmah di setiap musibah

Gagal menjadikan kita lebih tabah
ujiannya lebih mudah dikenali
dan jelas bagaimana menghadapi
sedang kejayaan
umpama musuh bertopeng
entah bagaimana rupa menjelma
menyembunyi atau memperlihat
wajah dan warna sebenar manusia


Ali al-Hassani
Skyhill Park
Kuala Lumpur
30 Mei 2015

Tuesday, April 21, 2015

:: TEMUKAN HATI KAMI ::

Ya Allah...
Yang Maha Pengasih
Lagi Maha Penyayang...

Ya Latif... Jadikanlah hati2 kami lembut.
Lenyapkanlah Ya Rahman, rasa kebencian
dan permusuhan di antara kami.

Rapatkanlah Ya Wahhab akan hati-hati kami
lalu kami berkasih sayang keranaMu.

Ya Allah, Engkau angkatlah ujian Yang Engkau timpakan
pada kaum keluarga kami hingga menjauhkan hati
menjarakkan diri, menyalakan sangsi lalu menghalang
dari saling menziarahi sesama kami.

Ya Allah....
rezekikan bagi kami
akal yang sihat dan hati yang lapang
menerima kekurangan dan memaafkan
sesama kami sekeluarga
sesama sanak saudara
sesama umat manusia

Ya Allah.. anugerahkanlah dari sisiMu kesempatan
untuk ahli keluargaku bertemu dan berkumpul
dengan semua sanak saudara, adik-beradik
yang amat dirindui,
pakcik-pakcik dan makcik-makcik ku
yang didoakan kesejahteraan mereka
dalam satu majlis yang Engkau redhai...

sama ada ia majlis walimah
mahupun kenduri arwah.

Amin, Ya Rabbal 'Alamin..

Saturday, February 7, 2015

ADA NAMUN TIADA

7 Februari 2015 / 17 Rabiul Akhir 1436 H (Sabtu)

Satu situasi itu telah menyedarkan saya. Siapa saya di dunia, atau setidak-tidaknya di sini.
Di tempat ini, di jabatan ini. Di rumah ini.

Seorang sahabat yang bagiku amat aku sayangi bakal meninggalkan kami.  Satu jamuan dirancang untuk meraikan beliau dan aku dijemput sama....pada awalnya.   Entah kenapa, ia ditangguhkan di atas sebab-sebab tertentu.  Hari ini, aku mungkin mengerti jawapannya.  Mungkin mereka tersilap menjemput aku. Rupanya jamuan tersebut diadakan secara kecil-kecilan bersama rakan-rakan rapat beliau. Dan semua rakan-rakan tersebut aku anggap rakan-rakan rapatku juga.  Sama-sama bekerja, belajar dan berusaha memberikan yang terbaik.  Sahabat-sahabat yang kusertakan nama mereka di dalam setiap doa....

Kiranya mereka tidak mempunyai tanggapan yang sama. Aku tiada dalam senarai mereka.  Yang paling mengecewakan aku, salah seorang rakan rapat itu ialah rakan serumahku.  Orang yang kuanggap paling dipercayai dan kuterima tanpa syarat.

Insiden ini menyedarkan aku.  Penerimaan setiap orang adalah berbeza. Walau aku menerima mereka sebagai sahabat rapat, atau kawan karib, biarpun tanpa syarat, ia tidak semestinya di balas dalam bentuk yang serupa.  Ya, itulah namanya manusia.  Aku sedih, sakit hati, sedar diri.  Tapi ada bagusnya juga.  Sudah agak lama aku tidak teruji atau tersentap begini.  Setidak-tidaknya aku ada peluang untuk meleraikan segala bebanan hati dengan menangis. Terima kasih Ya Allah kerana teguran yang manja ini.

Aku faham dan pelajari sesuatu.  Perasaan sayang sesama makhluk tidak semestinya menerima balasan, tapi dengan mgasihiNya, aku yakin sekali, tiada kesalan, tiada kekecewaan. KasihNya tidak pernah meminta, kerana Dia Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.  Sayang Allah tidak pernah dibeza-beza dengan status atau rupa.  Ya Allah, janganlah Engkau lupakan aku...janganlah Ya Allah Engkau putuskan harapanku.  Aku ingin mendekatiMu, aku sedang mencuba sedaya-upayaku.  Andai kesakitan ini dan kekecewaan ini adalah harganya, aku sedia menerimanya Ya Allah. Asal sahaja Engkau terasa dekat.

Terima kasih Ya Allah kerana mewujudkan aku di sini. Segala puji bagiMu Ya Allah kerana masih bersabar dengan hambaMu yang entah apa-apa ini. Yang tiada sesuatu apapun untuk dibangga atau dihargai kewujudannya.  Ya Allah. Biar mereka mengganggap aku tidak wujud. Biar mereka tidak menyedari kehadiran ini. Tapi Ya Allah, janganlah Engkau palingkan pandanganMu daripadaku.  
Ya Allah.......
Ya Allah......
Ya Allah.....
ampunkan aku....kerana masih sedih, tidak dapat menepis rasa tersisih dan ingin menyisihkan diri sendiri dari semuanya....kecuali dari pandangan, pengetahuan dan inayahMu.

Thursday, January 15, 2015

Kembara Hati

Biarkan jasad mengikut kaki
meneroka daerah penuh misteri
di zahir mata penuh cerita
di sudut hati penuh terluka
menjelajah resah sendiri
Biarkan langkah mengubat hati

Lakarkan kisah seindah mimpi
kembara mencari sejuta destinasi
di pandang mata terukir bahagia
di lubuk hati terubat luka
musafir mencari sejuta erti
Lakarkan wajah setulus realiti

Ada hati membawa luka
ada kaki melangkah hiba
ada harap membenam kecewa
ada senyum melukis bahagia
ada wajah menyimpan rahsia
ada mehnah menyentuh jiwa

Ya Allah
jangan biarkan hamba sendiri
musafir merentas kembara usia
apa kiranya Engkau sertakan namanya
dalam limpahan rahmat dan taufiqMu
bersama luasnya maghfirah dan rezekiMu
kerana kembara hati dan kakiku ini
berjalan, berlari mencari erti
matlamat dan erti wujud diri
mengintai wazifah mahupun fungsi
membina iktikad dan kekuatan diri

Ya Allah
berilah hati dan kakiku kekuatan
untuk aku tetap di jalan kebenaran
untuk aku tempuhi sunnah Yang Menciptakan
untuk aku galas tugas Rasul Utusan
untuk aku timba khazanah pengetahuan
untuk aku sebar seluas kebaikan
untuk aku mati di medan perjuangan,

Ya Allah
andai kembara ini tidak berteman
jangan biarkan hambaMu ini sendirian
kupohon secukup kudrat dan bantuanMu
kumohon seluas rahmat dan hidayahMu
jadikan kembara ini sebuah rehlah
menuju maghfirah dan redhaMu
jadikan saat kembali itu
saat terbaik dan terindah
bagiku, pulang ke sisiMu.


Ali al-Hassani
Khamis 15/01/2015
Skyhill Park